Thursday, September 9, 2010

Kebanjiran Warga Asing

       Kebanjiran warga asing sejak akhir-akhir ini menjadi isu yang semakin hangat di negara kita, Malaysia. Negara kita telah menjadi tumpuan warga asing dari pelbagai negara untuk mencari rezeki, dan mereka ini biasanya datang dari negara yang miskin seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam. Pemandangan di bandar-bandar besar di Malaysia yang dibanjiri dengan warga asing telah menjadi fenomena dan pemandangan biasa. Kebanjiran warga asing di negara ini semakin meningkat dan bandaraya kini sesak dengan warga asing yang melepak, dan bergelandangan seperti di KLCC, tepi-tepi jalan, dan lain-lain lagi.

       Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan warga asing untuk berhijrah ke Malaysia. Antaranya ialah kerana keadaan politik yang tidak stabil di Indonesia contohnya, telah menggalakkan pemuda-pemudi negara itu datang mencari rezeki di negara kita kerana peluang pekerjaan adalah terhad di Indonesia. Selain itu, kadar inflasi yang tinggi di negara yang miskin telah menyebabkan mereka yang miskin menjadi lebih miskin. Permintaan yang tinggi terhadap buruh asing oleh majikan tempatan juga telah menyebabkan warga asing sanggup menerima gaji yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Keadaan ini menjadi lebih teruk dengan adanya sikap pekerja tempatan yang suka memilih kerja dan mengharapkan gaji yang lebih tinggi.

       Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kebanjiran terlalu ramai warga asing ke Malaysia juga berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang membawa masuk mereka ke negara ini. Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada masa akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik, dan air.

        Tidak dapat dinafikan bahawa kedatangan warga asing ke Malaysia ini memberi banyak kesan positif dan negatif. Antara kesan positifnya ialah dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja, terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan, dan pembuatan serta perkhidmatan. Ini kerana, pekerja tempatan kurang berminat dalam sektor-sektor ini dengan alasan kurang popular dan ada yang memandang rendah pekerjaan sebegini. Namun bagi pekerja asing, mereka tidak memilih pekerjaan. Apa sahaja yang ditawarkan akan diterima tanpa banyak soal, kerana pengalaman berada dalam suasana kesempitan di negara asal menjadikan mereka berjiwa kental dan tahan lasak.

       Dengan kedatangan warga asing juga dapat mempercepat atau memacu pembangunan negara ke arah kewujudan sebuah negara maju, selaras denagn wawasan 2020. Purata indeks pertumbuhan negara telah mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan, jadi dapat dilihat disini Malaysia memerlukan tenaga buruh untuk membangunkan infrastruktur dan prasarana negara. Kebanjiran pekerja asing ke Malaysia dengan kadar upah yang rendah dan murah menyebabkan pelabur asing tertarik untuk membuat pelaburan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam sektor perkilangan dan perladangan.

       Selain itu, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina dapat dipereratkan dan boleh menyebabkan negara asing terhutang budi dengan Malaysia kerana membantu negara-negara tersebut mengurangkan masalah pengangguran di negara masing-masing.

       Namun begitu, kesan negatif terhadap kedatangan warga asing ini juga dapat dilihat begitu ketara pada masa kini. Antaranya ialah dapat menjejaskan periuk nasi rakyat tempatan, seterusnya meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia. Ini kerana upah yang murah daripada majikan menyebabkan pekerja tempatan menerima tempiasnya, sedangkan pekerja tempatan terpaksa menampung pelbagai kos sara hidup yang semakin membebankan. Jelaslah bahawa kehadiran pekerja asing menyebabkan banyak peluang kerja kepada penduduk tempatan tertutup. Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita.

        Selain itu, peningkatan masalah sosial dan kadar jenayah daripada seperti merompak, membunuh, samun, rogol, pelacuran, dan sebagainya telah menyebabkan rakyat tempatan berada dalam keadaan tidak aman dan tenteram seterusnya dapat menjejaskan imej negara di persada dunia. Berdasarkan laporan, jenayah yang paling tinggi dilakukan oleh warga Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh.

        Terdapat dua kategori bagi warga asing yang datang ke Malaysia iaitu pendatang asing yang datang secara sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Pekerja yang datang ke Malaysia secara sah adalah yang telah ditentukan jenis pekerjaan, siapakah majikannya, dimana tempat tinggal dan telah melalui pelbagai proses untuk memenuhi kelayakan sebagai pekerja. Mereka kemudiannya diberikan permit kerja yang dinyatakan tempoh untuk mereka bekerja di negara ini. Kategori pekerja jenis ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, bebas daripada penyakit berjangkit, mempunyai kontrak pekerjaan yang sah dan tidak membawa banyak masalah kepada masyarakat. Majikan mereka juga lebih bertanggungjawab dengan menyediakan tempat kediaman, makanan dan perkhidmatan perubatan.

        Bagi kategori PATI iaitu pendatang tanpa izin, mereka tidak pernah melalui proses seperti kategori pendatang yang sah. Mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan, risiko penyakit berjangkit yang tinggi seperti tuberculosis (tibi) dan mudah dieksploitasi. PATI yang ditangkap kerana pelbagai kesalahan imigresen dan jenayah hanya membebankan pihak kerajaan kerana terpaksa menanggung kos penahanan dan penghantaran ke negara asal mereka. Kes-kes yang lebih rumit seperti imej implikasi buruk terhadap negara asal pendatang berkenaan.

        Dalam usaha membendung kehadiran PATI, beberapa langkah boleh diambil seperti pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.

        Seterusnya pihak polis perlu juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

        Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.

        Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

       Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.

        Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.


Sunday, September 5, 2010

STATISTIK PEMBUANGAN BAYI DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA

      














        Kehidupan generasi muda masa kini yang bertunjangkan keseronokan duniawi telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan dunia ada di kalangan generasi muda di luar sana yang alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah. Agak menyedihkan apabila berlaku kes-kes sebegini, bangsa melayu yang majoritinya melakukan perbuatan terkutuk tersebut. hal ini kerana mereka tiada pegangan agama, inikah akibatnya apabila mereka menghalalkan perbuatan yang haram dengan melakukan penzinaan. Akibat perbuatan haram ini pasangan tersebut maka lahirlah anak yang luar nikah. Bayi yang tidak berdosa ini pula akan menjadi mangsa kezaliman dunia kerana dibuang oleh pasangan yang melakukan penzinaan tersebut hal ini kerana hampir setiap hari kita mendengar kes pembuangan bayi di media cetak mahupun media elektronik.


         Statistik pembungan bayi juga menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan bukanlah sesuatu yang boleh di banggakan bagi Malaysia sebagai sebuah negara islam. Menurut statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoritinya 92% iaitu 532 kes adalah bayi yang baru lahir sementara 8% iaitu sebanyak 48 kes adalah janin. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula terdapat peningkatan yang ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan seperti yang ditunjukkan oleh jadual di bawah.




        Manakala bagi statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tahun 2005 sehingga 2009, jumlah kes pembuangan bayi mengikut negeri adalah sebanyak 407 kes. Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 105 kes diikuti oleh Johor dengan 83 kes dan Sabah dengan 65 kes. Selain itu, Sarawak 34 kes, Pulau Pinang 22 kes, Perak 19 kes, Pahang dan Kedah 17 kes, Kelantan 10 kes, Terengganu 5 kes, Melaka 3 kes, Kuala Lumpur 2 kes dan Perlis 1 kes. Manakala Negeri Sembilan tidak mempunyai catatan. Tetapi pada tahun 2010 untuk kes pembuangan bayi iaitu dari bulan Januari dan Februari mencatat sebanyak 12 kes.


       Statistik anak tak sah taraf di kalangan bangsa melayu adalah yang kedua paling tinggi untuk tahun 2009 seramai 17,303 orang iaitu di belakang kaum-kaum lain. Ini juga bermakna tidak kurang 47 orang bayi berketurunan melayu dilahirkan setiap sepanjang tahun 2009. Statistik ini tidak termasuk bayi yang dilahirkan hidup, kemudian mati akibat ditinggalkan di tempat pembuangan sampah, surau, tandas dan sebagainya. Statistik ini juga tidak termasuk bayi-bayi yang digugurkan dan dirahsiakan kematiannya iaitu bayi yang dibuang dan tidak dijumpai.



        Manakala mengikut kronologi kes pembuangan bayi pula ialah pada 26 Mac 2010 mayat bayi yang masih bertali pusat dibuang di jalan padang Tembak, Kampung Melayu Subang dengan sebelah tangannya bercerai dari badan dan digonggong anjing dari sekawanan anjing. 21 Mac 2010 pula seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui basah kuyup dan tersangat lemah di Ipoh. Pada 15 Mac 2010 mayat bayi lelaki ditemui di dalam plastik sampah berhampiran surau sebuah stesen minyak di Klang. 6 Mac 2010, mayat bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang berdekatan pasar di Kuching. Mayat bayi yang masih terlekat dengan uri dan tali pusat ditemui dibuang dan dibakar dalam sebuah tong sampah di Kelantan iaitu pada 13 Februari 2010. 10 Februari 2010 pula mayat bayi perempuan yang dihurung semut ditemui di masjid di Melaka. 8 februari 2010, mayat bayi perempuan berbungkus plastik ditemui ditanam di belakang sebuah kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Pada 26 November 2009, mayat bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Hulu Selangor. 4 November 2009 pula kepala bayi tanpa badan yang telah berulat dijumpai di tempat pembuangan sampah di setiu, dipercayai telah menjadi santapan binatang. Pada 18 Oktober 2009, mayat bayi perempuan ditemui di asrama kosong di Pontian, Johor. 5 Oktober 2009 pula mayat bayi cukup sifat ditemui terapung di Sungai Pinang, Georgetown. 13 Ogos 2009, mayat bayi lelaki yang disangka bangkai kucing ditemui dalam mangkuk pengepam tandas di tandas sekolah Menengah Sains Pokok Sena. 16 Jun 2009, mayat bayi perempuan dikerumuni ulat ditemui dalam plastik sampah di sebuah surau, Kajang. 17 mei 2009, mayat bayi dalam tong sampah, Kuala Lumpur. 21 Mac 2009, seorang bayi lelaki ditemui di kawasan pembuangan sampah dekat Mersing, Johor. 15 Mac 2009, satu mayat bayi lelaki dan satu janin yang belum cukup sifat ditemui dalam dua beg plastik yang dibuang di Taman Keramat, Kuala Lumpur dan pada 8 Januari 2009, mayat bayi lelaki yang berbungkus surat khabar ditemui di Kg Raja, Cameron Highlands.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL UNTUK MENANGANI MASALAH     PEMBUANGAN BAYI INI.


       Terdapat beberapa langkah-langkah yang mungkin dapat menangani masalah pembuangan bayi ini dan ia haruslah mendapatkan kerjasama daripada beberapa pihak. Antaranya ialah peranan ibu bapa yang sangat penting kerana ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mestilah memohon bantuan dan pertolongan dari pihak- pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk mereka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.


       Manakala peranan kedua ialah remaja itu sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepda kehidupan mereka yang bermotivasi berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.


       Peranan ketiga ialah masyarakat awam kerana dalam kehidupan sosial, islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu. Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.


       Peranan keempat ialah NGO kerana NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghalatujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara optima.


       Peranan kelima pula ialah peranan daripada guru-guru dan pihak sekolah kerana guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa akan datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau penambaikan secara sistematik.


        Peranan keenam ialah melalui Kementerian Pelajaran. Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah sangat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepaa remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi memastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu bapa dalam memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya. Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah kepimpinan remaja.


       Peranan ketujuh ialah melalui media. Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja begitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau luar negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.


       Akhir sekali ialah peranan parlimen. Hal ini kerana permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibicangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.


       Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai kes pembuangan bayi ini ialah semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani masalah ini. Jika salah satu pihak tidak mengambil tahu, masalah pembuangan bayi ini akan terus menjadi semakin serius. Selain itu, hukuman hendaklah dikenakan kepada kedua-dua pasangan kerana jika hukuman dikenakan kepada perempuan sahaja, ia akan memberi peluang kepada lelaki yang melakukan perbuatan ini terus merosakkan perempuan. Hal ini kerana pihak lelaki tidak akan berasa bersalah melakukan perbuatan terkutuk ini.

Monday, August 9, 2010

Teori dan Model berkaitan individu dan kumpulan...

Teori Psikologi Individu memfokuskan kepada keunikan yang dimiliki oleh seseorang individu dan Alder menolak mengenai desakan seksual menentukan personaliti seseorang.

Menurut Alder, fenomena psikologi yang dialami oleh setiap individu itu adalah berbeza antara satu sama lain tetapi bersifat konsisten antara satu sama lain iaitu untuk mencapai kehendak superioriti. Kegagalan seseorang individu berhadapan dengan cabaran hidup mendorong individu bersifat lemah, pasif dan defensif iaitu individu ini mengalami inferiority complex.

Kehendak seseorang itu mempengaruhi setiap tindakan mereka berpandukan pula kepada pengalaman di masa lepas yang telah dilalui mereka yang mana mendorong kepada usaha untuk merealisasikan suatu kehendak. Perasaan inferioriti yang wujud secara nyata atau khayalan dalam diri seseorang individu dianggap suatu yang normal. Bahkan, perasaan inferioriti itu menjadi dorongan untuk seseorang individu mencapai keinginan superioriti. Superioriti pula merupakan matlamat hidup seseorang individu di samping menggapai kesempurnaan kendiri yang unggul. Maka, matlamat ini dijadikan pula sebagai panduan hidup seseorang. Matlamat tadi adalah hasil idea yang dibayangkan. Ia diistilahkan sebagai Fictional Finalism.

Kematangan atau kebaikan seseorang itu dilihat melalui pandangan seseorang individu itu terhadap kehidupan sosial yang sedang dihadapi. Menurut Adler, dengan berusaha membantu orang lain, sebenarnya kita sedang membantu diri kita dalam mencapai matlamat. Dengan mempunyai kepentingan sosial ( social interest) yang tinggi, individu ini amat mementingkan kebajikan orang lain dan usaha yang dibuat untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat membantu seseorang individu untuk menyesuaikan diri dengan baik di samping mengurangkan perasaan sunyi dan tertekan.
Perancangan hidup seseorang individu dianggap unik dan cara hidup mereka dibentuk semasa lima tahun yang pertama. Selain itu, layanan ibu bapa semasa peringkat awal kanak- kanak memberi kesan kepada timbulnya reaksi inferioriti dalam diri anak- anak dan mempengaruhi pembentukan personaliti unik anak- anak dan gaya hidup yang bakal diamalkan ketika dewasa. Antara gaya hidup anak- anak yang dikesan dipunyai oleh anak- anak adalah jenis dominan/Active- Destructive, jenis bergantung/Passive- Constructive, jenis mengelak/Passive- Destructive Style, dan jenis sosial/ Active- Constructive Style.

Selain itu, Adler turut percaya perbezaan layanan ibu bapa terhadap anak- anak adalah berkait- rapat dengan turutan kelahiran ( birth order ) setiap anak. Maknanya, layanan yang diterima oleh anak sulung, anak kedua, anak tengah, anak tunggal dan anak bongsu adalah berbeza- beza antara satu sama lain. Demikian, melalui pengalaman yang dialami, seseorang individu itu mampu menciptakan personaliti dan tingkah laku diri yang unik dan ia berdasarkan persepsi subjektif yang dimiliki oleh setiap mereka.

Kata Adler lagi, desakan hidup yang dihadapi seseorang menjadi tunggak kepada perkembangan personaliti individu itu sendiri. Di samping itu, konsep kendiri kreatif turut memainkan peranan besar dalam menentukan personaliti seseorang. Kendiri kreatif wujud dalam diri individu berasaskan kepada proses pembelajaran (rangsangan- tindakbalas) yang dilalui sepanjang kehidupannya di masa lalu. Apa sahaja keputusan yang dibuat, tanggungjawab adalah disandarkan kepada individu itu sendiri. Penilaian baik dan buruk sesuatu perkara itu adalah terpulang kepada pengamatan individu itu sendiri dan manusia bukanlah hamba kepada nasib.
Thinking, feeling, emotion, and behavior can only be understood as subordinated to the individual’s style of life, or consistent pattern of dealing with life. The individual is not internally divided or the battleground of conflicting forces. Each aspect of the personality points in the same direction.

Monday, August 2, 2010

Bagaimana kefungsian sosial individu dapat membantu menyelesaikan masalah?


Kefungsian membawa maksud tujuan atau tugas tertentu bagi setiap anggota masyarakat kepada sistem dalam masyarakatnya dan akibat yang dihasilkan terhadap orang lain. Fungsi pula membawa maksud tugas atau keadaan yang menyebabkan proses pengadaptasian dan penyelarasan kepada sesuatu sistem berlaku. Kefungsian sosial pula secara keseluruhan membawa maksud satu aktiviti yang sangat penting dalam melengkapkan hubungan diantara komponen-komponen pengalaman sosial dalam kehidupan seharian. Kefungsian sosial memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Tanpa kefungsian sosial ini, kehidupan masyarakat akan menjadi tidak teratur dan tidak stabil. Kefungsian sosial lebih melihat kepada bagaimana sesuatu proses sosialisasi itu memberi impak kepada persekitarannya. Komponen- komponen utama yang wajib ada untuk menilai sejauh mana keberkesanan kefungsian sosial itu adalah status sosial, rol sosial, kelompok sosial dan institusi sosial.



Kefungsian bersosial melahirkan masyarakat yang stabil, mantap, mempunyai tingkah laku tertentu dan boleh dijangka. Tingkah laku yang anjal juga tidak bermakna masyarakat itu hidup dalam kucar-kacir. Kefungsian sosial juga dilihat dalam sudut yang pelbagai sebagai landasan untuk menolong masyarakat dalam menyelesaikan masalah. Secara kasarnya, kefungsian sosial melihat seseorang individu  memainkan peranan yang penting diantara satu sama lain.Contohnya, nizam seorang suami, dia mempunyai kawan-kawan, dia  juga bekerja di sebuah pejabat untuk menanggung perbelanjaan keluarganya dan dia juga mempunyai ibu bapa di kampung. Daripada contoh yang diberi juga sudah menunjukkan bahawa kefungsian sosial telah mendorong nizam berkeinginan untuk bersosial bersama kawan-kawan, perlukan sumber ekonomi untuk menyara hidup keluarganya dan perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang  anak Jadi kefungsian sosial memberikan impak yang besar dalam kehidupan nizam.

Rujukan : Samir Muhazzab Amin & Winny Abdul(2009): Pengantar Kerja Sosial: Kefungsian sosial dalam sistem sosial. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd