Sunday, September 5, 2010

STATISTIK PEMBUANGAN BAYI DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA

      














        Kehidupan generasi muda masa kini yang bertunjangkan keseronokan duniawi telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan dunia ada di kalangan generasi muda di luar sana yang alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah. Agak menyedihkan apabila berlaku kes-kes sebegini, bangsa melayu yang majoritinya melakukan perbuatan terkutuk tersebut. hal ini kerana mereka tiada pegangan agama, inikah akibatnya apabila mereka menghalalkan perbuatan yang haram dengan melakukan penzinaan. Akibat perbuatan haram ini pasangan tersebut maka lahirlah anak yang luar nikah. Bayi yang tidak berdosa ini pula akan menjadi mangsa kezaliman dunia kerana dibuang oleh pasangan yang melakukan penzinaan tersebut hal ini kerana hampir setiap hari kita mendengar kes pembuangan bayi di media cetak mahupun media elektronik.


         Statistik pembungan bayi juga menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan bukanlah sesuatu yang boleh di banggakan bagi Malaysia sebagai sebuah negara islam. Menurut statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoritinya 92% iaitu 532 kes adalah bayi yang baru lahir sementara 8% iaitu sebanyak 48 kes adalah janin. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula terdapat peningkatan yang ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan seperti yang ditunjukkan oleh jadual di bawah.




        Manakala bagi statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tahun 2005 sehingga 2009, jumlah kes pembuangan bayi mengikut negeri adalah sebanyak 407 kes. Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 105 kes diikuti oleh Johor dengan 83 kes dan Sabah dengan 65 kes. Selain itu, Sarawak 34 kes, Pulau Pinang 22 kes, Perak 19 kes, Pahang dan Kedah 17 kes, Kelantan 10 kes, Terengganu 5 kes, Melaka 3 kes, Kuala Lumpur 2 kes dan Perlis 1 kes. Manakala Negeri Sembilan tidak mempunyai catatan. Tetapi pada tahun 2010 untuk kes pembuangan bayi iaitu dari bulan Januari dan Februari mencatat sebanyak 12 kes.


       Statistik anak tak sah taraf di kalangan bangsa melayu adalah yang kedua paling tinggi untuk tahun 2009 seramai 17,303 orang iaitu di belakang kaum-kaum lain. Ini juga bermakna tidak kurang 47 orang bayi berketurunan melayu dilahirkan setiap sepanjang tahun 2009. Statistik ini tidak termasuk bayi yang dilahirkan hidup, kemudian mati akibat ditinggalkan di tempat pembuangan sampah, surau, tandas dan sebagainya. Statistik ini juga tidak termasuk bayi-bayi yang digugurkan dan dirahsiakan kematiannya iaitu bayi yang dibuang dan tidak dijumpai.



        Manakala mengikut kronologi kes pembuangan bayi pula ialah pada 26 Mac 2010 mayat bayi yang masih bertali pusat dibuang di jalan padang Tembak, Kampung Melayu Subang dengan sebelah tangannya bercerai dari badan dan digonggong anjing dari sekawanan anjing. 21 Mac 2010 pula seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui basah kuyup dan tersangat lemah di Ipoh. Pada 15 Mac 2010 mayat bayi lelaki ditemui di dalam plastik sampah berhampiran surau sebuah stesen minyak di Klang. 6 Mac 2010, mayat bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang berdekatan pasar di Kuching. Mayat bayi yang masih terlekat dengan uri dan tali pusat ditemui dibuang dan dibakar dalam sebuah tong sampah di Kelantan iaitu pada 13 Februari 2010. 10 Februari 2010 pula mayat bayi perempuan yang dihurung semut ditemui di masjid di Melaka. 8 februari 2010, mayat bayi perempuan berbungkus plastik ditemui ditanam di belakang sebuah kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Pada 26 November 2009, mayat bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Hulu Selangor. 4 November 2009 pula kepala bayi tanpa badan yang telah berulat dijumpai di tempat pembuangan sampah di setiu, dipercayai telah menjadi santapan binatang. Pada 18 Oktober 2009, mayat bayi perempuan ditemui di asrama kosong di Pontian, Johor. 5 Oktober 2009 pula mayat bayi cukup sifat ditemui terapung di Sungai Pinang, Georgetown. 13 Ogos 2009, mayat bayi lelaki yang disangka bangkai kucing ditemui dalam mangkuk pengepam tandas di tandas sekolah Menengah Sains Pokok Sena. 16 Jun 2009, mayat bayi perempuan dikerumuni ulat ditemui dalam plastik sampah di sebuah surau, Kajang. 17 mei 2009, mayat bayi dalam tong sampah, Kuala Lumpur. 21 Mac 2009, seorang bayi lelaki ditemui di kawasan pembuangan sampah dekat Mersing, Johor. 15 Mac 2009, satu mayat bayi lelaki dan satu janin yang belum cukup sifat ditemui dalam dua beg plastik yang dibuang di Taman Keramat, Kuala Lumpur dan pada 8 Januari 2009, mayat bayi lelaki yang berbungkus surat khabar ditemui di Kg Raja, Cameron Highlands.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL UNTUK MENANGANI MASALAH     PEMBUANGAN BAYI INI.


       Terdapat beberapa langkah-langkah yang mungkin dapat menangani masalah pembuangan bayi ini dan ia haruslah mendapatkan kerjasama daripada beberapa pihak. Antaranya ialah peranan ibu bapa yang sangat penting kerana ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mestilah memohon bantuan dan pertolongan dari pihak- pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk mereka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.


       Manakala peranan kedua ialah remaja itu sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepda kehidupan mereka yang bermotivasi berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.


       Peranan ketiga ialah masyarakat awam kerana dalam kehidupan sosial, islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu. Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.


       Peranan keempat ialah NGO kerana NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghalatujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara optima.


       Peranan kelima pula ialah peranan daripada guru-guru dan pihak sekolah kerana guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa akan datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau penambaikan secara sistematik.


        Peranan keenam ialah melalui Kementerian Pelajaran. Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah sangat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepaa remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi memastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu bapa dalam memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya. Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah kepimpinan remaja.


       Peranan ketujuh ialah melalui media. Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja begitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau luar negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.


       Akhir sekali ialah peranan parlimen. Hal ini kerana permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibicangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.


       Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai kes pembuangan bayi ini ialah semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani masalah ini. Jika salah satu pihak tidak mengambil tahu, masalah pembuangan bayi ini akan terus menjadi semakin serius. Selain itu, hukuman hendaklah dikenakan kepada kedua-dua pasangan kerana jika hukuman dikenakan kepada perempuan sahaja, ia akan memberi peluang kepada lelaki yang melakukan perbuatan ini terus merosakkan perempuan. Hal ini kerana pihak lelaki tidak akan berasa bersalah melakukan perbuatan terkutuk ini.

13 comments:

  1. mohon izin menggunakan maklumat dalam blog ini untuk kajian saya...

    terima kasih

    Sufri,
    Miri, Sarawak
    sufrimahmud@gmail.com

    ReplyDelete
  2. aku pn nak mta izin utk mggnakan mklumat ini untuk kajian saya..tq

    ReplyDelete
  3. minta izin guna maklumat utk kerja projek

    ReplyDelete
  4. menarik adik..akak mohon untuk guna maklumat ini untuk kerja projek . Allah bless u.

    ReplyDelete
  5. saya ingin mohon izin untuk mengambil maklumat ini untuk kajian saya..terima kasih

    ReplyDelete
  6. saye pom mhon izin nk wat kajian.. ty :)

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. mohon copy untuk dptkn maklumat :)

    ReplyDelete
  9. mohon izin gak wat research...syukran...

    ReplyDelete
  10. mohon izin utk menggunakan maklumat di atas, akak.. terima kasih :))

    ReplyDelete
  11. Salam Puan Amalina

    Saya mohon kebenaran untuk mengambil sedikit maklumat dari sini untuk memenuhi kursus yang saya ikuti.

    Penulisan yang penuh informasi. Tahniah Puan.

    Salam hormat dan terima kasih.

    ReplyDelete
  12. Mohon kebenaran untuk ambil sedikit info dlm blog ini ye
    ..terima kasih

    ReplyDelete